Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya memberi jaminan akan menyerahkan segala dokumen sekiranya diperlukan termasuklah penyata akaun-akaun bank Pas Pusat.

"Ia bagi membuktikan dakwaan bahawa Pas menerima RM90 juta daripada 1MDB adalah tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.

"Pas juga mengalu-alukan dan menggesa mana-mana pihak yang kononnya mempunyai maklumat tentang dakwaan di atas dengan penuh tanggungjawab dan integriti, tampil untuk menamakan secara terperinci serta memberikan butiran lanjut mereka yang dikatakan menerima wang itu kepada pihak berkuasa supaya siasatan lanjut dapat dibuat," katanya.

Menurut Takiyuddin, Pas yakin SPRM sebagai sebuah entiti yang berintegriti akan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara profesional dengan mengamalkan ketelusan, sikap bermaruah serta tanpa rasa takut atau memihak. - Bernama