Dengan perbincangan itu, ia seakan-akan memberi petunjuk awal untuk kedua-dua parti bergabung untuk membentuk kerajaan campuran di negeri ini.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, setakat ini, Pas berhasrat untuk menjayakan sebuah kerajaan campuran dengan parti yang mahu melaksanakan Islam tanpa halangan sebagai perjuangan.

Katanya, parti tersebut merupakan penentu kepada sebuah kerajaan gabungan di Perak dan mahu memilih parti yang boleh memberi kerjasama sepenuhnya dalam memperjuangankan Islam demi kesejahteraan ummah.

"Pas tidak akan bekerjasama dengan parti yang tidak boleh menerima Islam dan pernah menentang perjuangan Islam termasuk usaha menjayakan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di negara ini.

"Kita pernah dihalang untuk membawa RUU 355 dan usaha itu juga tidak disokong oleh DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pas Negeri Perak melibatkan 10 orang pemimpin utama parti tersebut.

Menurut Razman, satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat akan diadakan esok bagi membincangkan situasi di Perak.

Jelasnya, mesyuarat itu dijalankan bagi menubuhkan sebuah kerajaan gabungan selepas semua parti termasuk Pakatan Harapan dan BN tidak boleh membentuk kerajaan negeri menerusi majoriti mudah.

“Pas Perak akan mendapatkan mandat daripada pihak pimpinan tinggi pusat dalam mesyuarat Pas pusat esok bagi membentuk sebuah kerajaan campuran di Perak.

"Kita sudah menjangkakan situasi seperti ini akan berlaku. Sudah tentu Pas menjadi 'King Maker' dan parti yang boleh membantu memperjuangkan matlamat perjuangan Pas, kita akan bersatu," katanya. - K! ONLINE