Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan dan Pengawalseliaan Bahan Bahaya yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian pada 4 April lepas.

Menurutnya, SOP itu diwujudkan bagi meningkatkan persediaan pihak dan agensi berkaitan sekiranya insiden pencemaran bahan toksik seperti yang berlaku di Sungai Kim-Kim dan insiden berkaitan berlaku pada masa akan datang.

"Agensi penguat kuasa dan keselamatan berkaitan iaitu ATM (Angkatan Tentera Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia), PBT (pihak berkuasa tempatan), SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri), Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MESTECC akan mengadakan sesi table top exercise supaya aspek penyelarasan dan kesiapsiagaan menghadapi semua ancaman bencana dapat dipertingkatkan.

"Ini adalah antara pelan masa hadapan yang diambil kementerian bagi memastikan tragedi alam sekitar tidak berulang pada masa hadapan," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Rahemah Idris berkenaan strategi yang diambil kementerian bagi memastikan pembuangan sisa toksik haram seperti yang terjadi di Pasir Gudang, Johor tidak berulang.

Isnaraissah juga menjelaskan, penguatkuasaan juga akan diperhebatkan menerusi operasi bersepadu bersama agensi berkaitan dan syarikat utiliti seperti TNB dan syarikat bekalan air.

"Maklumat kawasan-kawasan berpotensi menjadi kawasan pelupusan sisa toksik yang telah dikenal pasti oleh Agensi Remote Sensing Malaysia juga akan dikeluarkan kepada pihak PBT dan JAS bagi tindakan penguatkuasaan," katanya.

Menjawab soalan Senator Datuk Abidullah Salleh yang mahu tahu bilangan kilang kimia di Melaka, beliau berkata, terdapat 25 premis berkenaan di Melaka ketika ini. - Bernama