Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, kerajaan mampu mencapai angka satu juta peluang pekerjaan namun negara pada masa ini menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.

"Masalahnya bukan pada angka itu atau adanya pekerjaan yang menjadi masalah ialah guna tenaga penuh dengan peratusan tidak bekerja hanya 3.4 peratus, berlaku kekurangan tenaga kerja, usaha-usaha sedang dibuat supaya kita dapat lebih banyak tenaga kerja yang boleh tingkat pendapatan negara ini.

"Meningkatkan gaji minima kepada RM1,500 adalah dasar kerajaan ia semestinya boleh dicapai dalam tempoh lima tahun, usaha pertama telah dimulakan dengan meningkatkan gaji minima daripada RM1,000 kepada RM1,100 yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2019," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) sama ada kerajaan akan melaksanakan janji mewujudkan sejuta peluang pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya-kurangnya RM2,500 yang terkandung dalam manifesto PH. - Bernama