Menurut laporan itu, jumlah kerugian syarikat kerajaan negeri itu adalah lebih tinggi berbanding dua tahun sebelumnya iaitu RM29.77 juta pada 2014 dan RM27.53 juta pada 2015.

"Kedudukan kewangan PSHM adalah kurang stabil yang mana keuntungan sebelum cukai menurun daripada RM9.15 juta pada 2014 kepada RM3.31 juta pada 2015 dan mengalami kerugian sebelum cukai RM2.87 juta pada 2016.

"Secara keseluruhannya aktiviti perkhidmatan kesihatan PSHM telah diuruskan dengan tidak berkesan dan tidak teratur. Amalan tadbir urus PSHM juga kurang memuaskan kerana terdapat amalan tadbir urus yang tidak dipatuhi," menurut laporan tersebut.

Laporan itu menyebut antara penemuan audit utama yang perlu diberi perhatian dan tindakan adalah sasaran pendapatan daripada konsultan tidak tercapai serta purata kekerapan penggunaan katil rendah dan menurun.

"Analisis mendapati pesakit datang ke PSHM adalah seramai140,062 orang pada  2014; 127,629 pada 2015 dan 129,690 orang pada 2016. Audit juga mendapati jumlah penghutang perniagaan bagi 2014, 2015 dan 2016 masing-masing RM26.21 juta, RM27.82 juta dan RM26.04 juta," menurut laporan itu.

Justeru, Audit menerusi laporan itu menyarankan PSHM antaranya meningkatkan pemantauan dan kawalan terhadap tunggakan penghutang perniagaan, memperketat dan mematuhi SOP terhadap kawalan penghutang perniagaan serta mewujudkan kontrak perjanjian antara PSHM dan panel pembayar. - Bernama