Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, balai yang terlibat ialah Balai Polis Travers, Petaling dan Pantai serta kuarters kediaman Bukit Aman.

“Setiap balai dan kuarters telah menerima sumbangan sebanyak RM50,000.

“Peruntukan tersebut telah saya luluskan dan akan berbincang dengan ketua balai terlibat serta pihak kuarters untuk mengenal pasti perkara yang perlu dibaik pulih,” katanya pada sidang akhbar Majlis Iftar [email protected] di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.

Fahmi menambah, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada janji yang dibuat kepada pasukan keselamatan itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada tahun lalu.

“Ia adalah balasan dan tanda terima kasih atas khidmat yang mereka berikan bagi menjaga keselamatan dan keamanan di kawasan awam.

“Kita mahu pastikan kebajikan mereka terbela dan mampu berkhidmat untuk orang ramai,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang turut hadir di majlis tersebut melahirkan rasa terima kasih kepada pejabat Parlimen Lembah Pantai atas keprihatinan mereka membantu kebajikan warga PDRM.

Dalam majlis tersebut, seramai 50 warga PDRM yang menghidap sakit kronik menerima sumbangan berbentuk hamper dan wang tunai bernilai RM100. - K! ONLINE