Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, usaha mengkaji lesen import gula yang telah berlarutan selama berdekad-dekad dipandang serius bagi mengurangkan beban rakyat.

"Pada ketika ini, penetapan harga gula dibuat bersandarkan harga gula mentah dunia serta mengambil kira kos pentadbiran, operasi kilang penapis, logistik, margin pengilang, peruncit serta pemborong bagi memproses gula mentah kepada gula bertapis.

Setelah mengambil kira kos-kos ini, kerajaan berpendapat adalah mustahil harga jualan runcit gula putih dapat diturunkan pada kadar RM1.50 dan harga gula di Malaysia yang pada ketika ini ditetapkan pada RM2.95 per kilogram bagi gula putih kasar dan RM3.05 bagi gula putih halus merupakan antara yang terendah di ASEAN," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta kementerian menjelaskan sama ada akan mengeluarkan lebih Permit Import (AP) kepada syarikat pengimport gula supaya harga gula dapat diturunkan sehingga kadar RM1.50 sekilogram atau lebih murah. - Bernama