Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, cadangan pembinaan aeropolis di lapangan terbang di Kelantan dan juga beberapa lapangan terbang lain bergantung kepada perkembangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Aeropolis, sama ada ia mencapai sasaran atau sebaliknya.

Kamarudin berkata, pada masa ini kerajaan hanya memfokuskan kepada pembangunan KLIA Aeropolis yang telah dikenal pasti sebagai satu daripada teras strategik pelan perniagaan Malaysia Airports Holdings Berhad.

"Zon pembangunan KLIA Aeropolis ini adalah berkeluasan 10 kilometer (km) kali 10 km atau 22,270 ekar yang merangkumi tiga kluster utama dengan yang pertama ialah udara dan logistik, kedua pusat perniagaan dan industri aeroangkasa dan ketiganya ialah pusat pelancongan dan MICE (Meeting, Incentive, Conference and Event).

"Pembangunan KLIA Aeropolis dijangka dapat menjana 208,300 peluang pekerjaan pada 2055 dan Keluaran Dalam Negara Kasar terkumpul sebanyak RM319 bilion menjelang 2060," katanya ketika menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu sama ada Lapangan Terbang Pengkalan Chepa berpotensi dijadikan bandar raya aeropolis pada masa depan.

Kamarudin berkata, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra merupakan lapangan terbang domestik kedua paling sibuk selepas Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan 171 penerbangan seminggu.

Menurut Kamaruddin, kementeriannya memantau pengendalian di semua lapangan terbang dan akan memenuhi permintaan sedia ada tertakluk pada peruntukan kewangan negara bagi menaik taraf infrastruktur di lapangan yang lebih kritikal dan telah mencapai had kapasitinya. - Bernama