Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof, ketika menggulung perbahasan, menegaskan penggubalan undang-undang itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama bagi Wilayah Persekutuan.

"Setelah mendapat persetujuan di pihak Yang di-Pertuan Agong, kemudian kita bawa ke Kabinet dan dipersetujui, barulah kita bawa ke Parlimen pada sesi kali ini. 

"Dengan kata lain, saya memberi jaminan kepada ahli-ahli Parlimen sekalian, dalam hal pentadbiran Islam, kami amat-amat prihatin dalam soal kuasa Raja-Raja Melayu dan khususnya Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai sama ada penggubalan rang undang-undang itu telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) (No.2) 2019.

RUU itu bertujuan meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, susulan penggubalan RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019. - Bernama