Beliau berkata, perkara ini tertakluk mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii serta Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah pada peringkat negeri berkenaan perlakuan liwat, musahaqah (lesbian) dan lelaki berlagak seperti perempuan. 

"Hak komuniti LGBT mengamalkan gaya hidup mereka masih tertakluk dengan undang-undang (yang) tidak membenarkan(nya) di Malaysia," katanya bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin tahu tindakan kerajaan terhadap penularan budaya songsang itu yang semakin membimbangkan.

Dalam masa sama, Mujahid berkata, golongan tersebut berhak menikmati hak sama rata sebagai warganegara dan tidak seharusnya didiskriminasi dalam sebarang bentuk termasuk di tempat kerja.

"Merujuk asas Perlembagaan Persekutuan, hak asasi manusia warganegaranya, yakni warganegara Malaysia sentiasa dipelihara berdasarkan acuan adat dan budaya di Malaysia serta kerangka Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. 

"Dengan kata lain tidak boleh ditindas, dianiaya dan dizalimi di tempat kerja. Statistik  menunjukkan 80 peratus mak nyah terlibat dalam industri seks, kalau kita diskriminasi mereka di tempat kerja maka mereka akan terus berada dalam industri ini, sedangkan kerajaan Pakatan Harapan berhasrat mengeluarkan mereka daripada industri ini," katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memperkenalkan pelbagai program untuk mendekati dan memulihkan golongan itu melalui program sukarela, sekali gus membawa mereka kembali ke pangkuan masyarakat. - Bernama