Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, hospital yang terlibat ialah Hospital Gerik, Hospital Kuala Kangsar dan Hospital Taiping di Perak; Hospital Tampin di Negeri Sembilan, Hospital Kota Tinggi di Johor, Hospital Besut dan Hospital Dungun di Terengganu; Hospital Gua Musang di Kelantan; Hospital Beaufort dan Hospital Kota Marudu di Sabah serta Hospital Mukah di Sarawak. 

"Untuk hospital tanpa pakar yang lain, ia dijadikan hospital kluster yang mana perkhidmatan pakar diperoleh dari hospital berdekatan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh (BN-Sabak Bernam) berhubung perancangan kerajaan untuk memenuhi keperluan doktor pakar di kawasan luar bandar pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Mohd. Fasiah tentang bilangan hospital sedia ada di seluruh negara, Boon Chye berkata, setakat ini terdapat sebanyak 145 buah hospital kerajaan yang diklasifikasikan mengikut fungsi masing-masing.

Katanya, ini termasuk 75 hospital tanpa pakar, 18 buah hospital pakar minor, 14 buah hospital negeri, 10 buah hospital atau institusi khas dan lapan hospital berpakar major (utama). 

"Di bawah Rancangan Malaysia ke-10 dan ke-11 terdapat perancangan untuk membina enam buah hospital pakar yang baharu, bagaimanapun perancangan tersebut bergantung kepada keadaan kewangan semasa serta sumber tenaga kerja yang mencukupi," katanya. - Bernama