Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, pembenihan itu dibuat pada awan kering dengan semburan hygroscopic flare dari pesawat jenis Cessna 340A, tengah hari tadi.

Katanya, pembenihan itu dilaksanakan dari kawasan sempadan Johor sehingga Durian Tunggal.

"Pembenihan awan ini dibuat selepas berbincang dengan pihak Jabatan Meteorologi dan tarikh antara 13 hingga 16 Mei dilihat sesuai berdasarkan keadaan cuaca.

"Bagaimanapun, pembentukan awan hujan pada 17 hingga 23 Mei tidak sesuai berikutan angin barat daya kuat dan sistem tekanan tinggi di Semenanjung," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini hari ini.

Mohd. Sofi berkata, operasi itu akan dijalankan selama tiga hari bermula hari ini bergantung kepada faktor atmosfera.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu setakat ini bekalan air di negeri ini masih lagi mencukupi dengan sumber air dari sungai Johor ke empangan.

Berdasarkan laman Facebook Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka, paras air di Durian Tunggal setakat pukul 10 pagi tadi mencatatkan 39.9 peratus, Jus (67 peratus) dan Asahan (62.5 peratus). - K! ONLINE