Majlis pelancaran pesawat AK6226 itu dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus di sini hari ini. 

Paparan tersebut merupakan kolaborasi antara AirAsia dengan kerajaan negeri bagi memeriahkan lagi persada pelancongan sempena kempen 'Beautiful Terengganu, Malaysia'. 

Menurut Ahmad Razif, sebanyak RM2 juta akan dibelanjakan bagi kempen selama dua tahun itu bersama pihak AirAsia. 

“Pada peringkat permulaan, kerajaan negeri telah mengeluarkan kos sebanyak RM1.2 juta bagi paparan produk termasuk pada ruang simpanan bagasi di dalam pesawat, tempat letak makanan pada belakang kerusi dan artikel dalam Majalah Travel3sixty. 

“Kita harap dengan adanya kolaborasi ini, kita mampu untuk mantapkan lagi promosi kerana kempen melawat Terengganu perlu dijalankan secara berterusan bagi memperkenalkan negeri ini di mata dunia,” katanya. 

Jelas beliau lagi, kerajaan negeri sentiasa agresif dalam pemantapan industri pelancongan kerana sektor tersebut mampu memberi pulangan yang berganda. 

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif AirAsia, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia, Noor Neelofa Mohd. Noor. - K! ONLINE