Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta perunding yang dilantik iaitu Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bagi mengesan sekiranya terdapat kesan keretakan baharu serta punca yang mengakibatkan ia berlaku.

"Pihak Ikram akan melaporkan penemuan baharu setiap dua jam melalui kerja-kerja pencerapan menggunakan probe juga sensor dan pemeriksaan awal telah menemui sekurang-kurangnya 10 kesan retakan.

"Susulan penemuan tersebut, kerja-kerja pemeriksaan serta kajian selanjutnya akan dilakukan dan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya selama tiga hari bermula hari ini," katanya pada satu sidang akhbar selepas melawat kawasan berkenaan hari ini.

Terdahulu, seramai 222 orang penduduk daripada 37 keluarga telah diarahkan berpindah selepas penemuan beberapa kesan keretakan di struktur bangunan berkenaan.

Menurut Amirudin, sekiranya kajian serta pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat sebarang pergerakan tanah yang boleh membawa kepada runtuhan bangunan tersebut, pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah bersetuju untuk melakukan kerja baik pulih.

"Berdasarkan pengalaman lalu, sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan diperlukan untuk membaik pulih bangunan ini bagaimanapun hasil cerapan serta konklusi awal daripada pihak yang melakukan kajian perlu diperolehi terlebih dahulu.

"Persediaan awal telah dilakukan dan penempatan sementara juga telah disediakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat dibawah pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," jelas beliau.

Kosmo! Online difahamkan, kesemua kesan keretakan yang ditemui tertumpu di tingkat tiga, empat dan lima bangunan ini yang dibina pada tahun 1985 dan ini merupakan kejadian yang pertama dilaporkan sejak ia dihuni.

Sementara itu, Ketua Penduduk Blok F, Azizan Dayak, 53, berkata, penduduk meluahkan perasaan susah hati kepadanya susulan kejadian yang menimpa mereka.

"Ada beberapa penduduk di blok ini yang meluahkan perasaan bimbang tentang nasib mereka serta anak yang bersekolah lebih-lebih lagi apabila memikirkan bulan Ramadan semakin hampir.

"Saya sudah menetap di blok ini sejak 27 tahun yang lalu dan amat berharap, kerja-kerja baik pulih dapat dilakukan dengan segera dan kami dapat kembali ke rumah masing-masing," luahnya ringkas. - K! ONLINE