Pengurusnya, Mohammad Syukri Ismail berkata, ATV yang ditawarkan dalam tiga kapasiti enjin iaitu 125 cc, 130cc dan 200 cc dengan gerabak itu mampu menampung hasil pertanian sehingga 350 kilogram dalam satu masa.

Katanya, harga tersebut adalah jauh berbeza dengan harga pasaran sekitar RM10,000 bagi ATV sahaja.

"Lebih menarik adalah apabila harga ditawarkan itu termasuk jaminan selama setahun, pelan insurans kepada pembeli sekiranya ditimpa musibah sewaktu melakukan aktiviti pertanian mereka serta kehilangan ATV.

"Setakat ini, kita telah mempunyai 25 pembeli yang berminat terhadap ATV ini selain  Koperasi Istiqamah Terengganu Berhad (KITAB) telah berminat untuk bekerjasama dengan kami," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Mansor Othman menyerahkan ATV berkapasiti 125cc beserta gerabak kepada seorang pembeli, Mohamad Azam Sarmin, 37.

Turut hadir, Pengurus Agrobank Cawangan Shah Alam, Shahrul Nizam Md. Yatim.

Mohammad Syukri menambah, pembeli juga boleh membuat pinjaman terhadap Kohijrah selama tiga tahun dan Agrobank dengan julat masa selama lima tahun tanpa sebarang deposit bagi pembelian ATV dan gerabak itu.

Dalam pada itu, Mohamad Azam memberitahu mengetahui mengenai produk tersebut sejak awal tahun lalu menerusi laman sosial Facebook Kohijrah.

"Ini akan memudahkan urusan saya dalam penjagaan dan pengangkutan barangan bagi kolam ikan dan kelapa yang diusahakan di tanah seluas 0.6 hektar," katanya. -K! ONLINE