Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata pada 12 Dis lalu, seorang pegawai perubatan di HUS membuat laporan di Balai Polis Satok di sini, bahawa rakan setugasnya, Dr Ahmed Mohamed Mohamed Sakr tidak hadir bertugas sejak 8 Disember lalu.

Beliau berkata doktor  berkenaan juga tidak dapat dikesan di bilik sewanya di Chong Lin Plaza di sini, dan polis menyiasat kes tersebut sebagai kes orang hilang.

"Pada masa sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah untuk menyiasat kehilangan doktor berkenaan secara mendalam," kata Dev dalam kenyataan di sini hai ini.

Beliau bekata siasatan awal mendapati, Dr Ahmed dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan Pakar (Patologi) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan bertugas di Jabatan Patologi, HUS sejak 2006.

"Siasatan lanjut mendapati Dr Ahmed mengambil penerbangan AirAsia dari Kuching pada 7 Dis lalu, pada 6.55 petang dan tiba di KLIA2 8.40 malam.
"Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA2 mengesahkan Dr Ahmed tiba di lapangan terbang berkenaan seorang diri dan dalam keadaan selamat," katanya.

Dev berkata siasatan  diteruskan untuk mengenal pasti lokasi terkini Dr Ahmed dan semakan juga mendapati beliau menempah tiket penerbangan Emirates dari Kuala Lumpur ke Kaherah pada 23 Disember ini.

Di samping itu, beliau berkata bantuan  juga diminta daripada Kedutaan  Mesir di Malaysia melalui Interpol Bukit Aman untuk menyemak status Dr Ahmed daripada keluarganya di Kaherah.

Beliau berkata siasatan setakat ini, tidak mendedahkan sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut. - Bernama