Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihak kementerian sering menerima aduan berhubung perkhidmatan estetik dan kosmetik di premis persendirian yang mendakwa rawatan dijalankan oleh 'pakar' sebaliknya mereka tidak berdaftar dan tidak mendapat pentauliahan Kementerian Kesihatan.

"Pakar kecantikan tidak bertauliah tersebut tidak dikawal oleh Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, bagaimanapun pengamal perubatan berdaftar yang menjalankan perkhidmatan estetik atau kosmetik tertakluk kepada akta tersebut dan terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi.

"Pihak kementerian akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan boleh dikenakan sekiranya perkhidmatan yang dijalankan menyerupai prosedur pengamal perubatan berdaftar dan pihak swasta," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan di sini semalam.

Terdahulu, Dr. Dzulkefly melancarkan aplikasi mudah alih MyOrtho dan MyGusi yang dibangunkan sebagai platform ke arah meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat mengenai kesihatan pergigian.

Menurut Dzulkefly, pakar dalam bidang estetik dan kecantikan perlu mempunyai pentauliahan Letter of Credentialing and Privileging (LCP) di bawah Kementerian Kesihatan.

"LCP dikeluarkan berdasarkan kemahiran dan kelayakan doktor atau pakar dimana terdapat penialain sebelum LCP dikeluarkan.

"LCP merupakan salah satu mekanisme bagi memastikan keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan estetik oleh pengamal perubatan berdaftar,adalah menjadi satu kesalahan jika perkhidmatan estetik dijalankan tanpa LCP," katanya.

Beliau mengulas mengnai laporan akhbar mengenai lebih 200,000 'pakar' kecantikan atau estetik tidak bertauliah yang didakwa bebas menawarkan khidmat rawatan kecantikan di negara ini yang dikhuatiri boleh mendedahkan pengguna kepada pelbagai komplikasi kesiahatan termasuk kanser dan risiko maut. - K! ONLINE