Wan Hashim yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan berkata, beliau akan menamatkan kayuhan ini lebih awal berbanding sasaran asal selama 15 hari.

Katanya, setakat ini, beliau telah berjaya membuat kayuhan sejauh 1,870 km sejak memulakan misi kayuhan pada 22 Jun lalu.

"Dalam tempoh tiga hari ini, saya perlu menamatkan kayuhan yang berbaki 400 km untuk sampai ke Kota Bharu yang dijangka pada petang Jumaat ini.

"Bagi menamatkan kayuhan lebih awal, saya telah membuat kayuhan antara 150 km hingga 160 km sehari. Walaubagaimanapun, bermula semalam, saya telah tingkatkan jarak kayuhan sehingga 170 km sehari," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pak Wan berkata, hari ini beliau akan meneruskan kayuhan dari Mersing, Johor sehingga ke Cherating, Pahang.

"Esok, saya meneruskan kayuhan dari Cherating, Pahang ke Kuala Terengganu dan lusa saya akan terus menamatkan kayuhan ke Kota Bharu.

"Untuk misi kali ini, saya akan meneruskan kayuhan sehingga ke destinasi yang dijadualkan meskipun terpaksa membuat kayuhan sehingga tengah malam," katanya.

Berkongsi pengalaman sepanjang misi kayuhan kelimanya ini, Pak Wan berkata, antara yang memberi cabaran kepadanya adalah ketika melalui jalan dari Kota Tinggi ke Mersing.

"Jalan di kawasan itu yang berbukit bukau amat mencabar untuk saya membuat kayuhan. Ia mengambil masa yang agak lama untuk saya untuk turun dan naik bukit.

"Selain itu, jarak kayuhan yang jauh sehingga 170 km setiap hari juga adalah cabaran terbesar bagi saya sehingga terpaksa berkayuh pada waktu malam,” katanya.

Tambahnya, cabaran itu tidak menjadi penghalang buatnya untuk mencipta rekod peribadi kelima dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dan menamatkan kayuhan lebih awal.

Dalam pada itu, Pak Wan turut berterima kasih kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), yang banyak menyokongnya sepanjang usahanya mencipta empat rekod MBOR sebelum ini.

Pak Wan mencipta rekod MBOR kali pertamanya pada 2014 sebagai lelaki tertua yang berjaya membuat kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 km.

Seterusnya, beliau mencatakan nama dalam MBOR pada 2015, 2017 dan tahun lepas dengan jarak paling jauh 5,319 km bagi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah Malaysia. - K! ONLINE