Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, larangan penggunaan tersebut turut membabitkan penyedut minuman dan beg plastik serta pembungkus makanan jenis i.

"Ia akan melibatkan semua jenis pembungkus plastik pakai buang. Pelaksanaan (larangan) ini lebih kepada tujuan mendidik dan selepas beberapa tempoh, kita akan mengenakan kompaun ke atas peniaga yang ingkar," katanya.

Wan Rosdy berkata, demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Beg  Plastik Peringkat Negeri Pahang di pasar raya TMG Mall dekat Tanjung Lumpur di sini hari ini.

Kira-kira 1,200 tan tan metrik sampah dibuang pada setiap hari di seluruh negeri itu dan sekali gus menyebabkan pihak berkuasa tempatan di setiap daerah terpaksa membuka kawasan baharu untuk menguruskan sisa pepejal.

Mengulas lanjut berhubung pelaksanaan itu, Wan Rosdy menambah, larangan itu telah dilaksanakan di semua premis pasar raya sebelum ini, namun didapati tidak cukup berkesan.

"Sebelum ini, pengguna dikenakan caj 20 sen sekiranya mahu menggunakan beg plastik semasa membeli belah di pasar raya (setiap Sabtu), tetapi ia tidak menurunkan kadar penggunaan beg plastik.

"Melalui larangan (terbaharu) pada setiap Sabtu dan Ahad, kita berharap orang ramai akan cepat sedar kerana penggunaan barang plastik pakai buang boleh menjadi punca kepada banyak masalah seperti banjir kilat dan wabak denggi," tambahnya. - K! ONLINE