Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, guru lelaki berusia 30 tahun tersebut dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada pagi semalam.

"Suspek mendakwa bapa mangsa memiliki syarikat yang didaftar di Alor Setar, Kedah dan mempunyai tunggakan cukai RM17,600.

"Panggilan tersebut disambungkan kepada seorang individu menyamar Ketua Polis Daerah Kota Setar yang mendakwa mangsa bersama bapanya akan disiasat kerana terlibat pengubahan wang haram," kata beliau.

Menerusi kenyataan hari ini, Mohd. Wazir menambah, suspek turut meminta mangsa mendedahkan maklumat akaun bank.

"Suspek tersebut memaklumkan, jika menerima pesanan ringkas (SMS) mengandungi TAC, mangsa perlu segera menghantar semua nombor tersebut kepadanya untuk tujuan semakan Bank Negara.

"Selepas itu, mangsa menerima dua SMS mengatakan berlaku transaksi pemindahan wang dari akaunnya ke dalam akaun penama Dayang Rafidah sebanyak RM10,000 serta penama Sukardi berjumlah RM10,000," katanya.

Mangsa segera membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati terdapat dua transaksi berlainan sebanyak RM20,000.00 dan berjaya menyekat satu transaksi berjumlah RM10,000.

Guru tersebut membuat laporan sejurus menghubungi bank dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan. - K! ONLINE