Mangsa berusia 27 tahun itu terpaksa menahan kesakitan selama 45 minit sebelum berjaya diselamatkan dalam kejadian berlaku bermula kira-kira pukul 2.40 petang. 

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, mangsa yang cemas ketika itu kemudiannya menjerit meminta pertolongan sebelum disedari rakan kilangnya yang lain.

Katanya, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 2.44 petang. 

"Berdasarkan siasatan awal mangsa mengakui tangannya tersangkut disebabkan cuba mengambil telefon bimbit miliknya jenis Xiaomi yang terjatuh dalam saluran tandas tersebut. 

"Kami mengambil masa selama 45 minit bagi mengeluarkan tangan mangsa yang hanya mengalami bengkak di bahagian atas lengan kanan," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. 

Difahamkan, telefon bimbit mangsa gagal ditemui susulan dibawa arus saluran tandas tersebut. 

Jelas Samsol, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut. - K! ONLINE