Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari berkata pelan reka bentuk itu adalah untuk mengenal pasti dan mengkaji masalah kejadian tanah runtuh yang berlaku di tebing Jalan Bukit Lama sepanjang 80 meter itu.

"Kami minta peruntukan kecemasan ini melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR). Pelan reka bentuk tersebut kini dalam proses terakhir dan akan didapati dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Makanan dan Minuman 'Tastefully' di sini, hari ini.

Zairil menasihatkan orang awam supaya menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan di laluan tersebut yang kini hanya dibuka satu lorong sahaja.

"Buat masa sekarang penyelenggaraan sedang giat dijalankan, jadi kami minta orang ramai untuk menggunakan laluan alternatif (Jalan Bukit Baru-Jalan Tun Sardon) bagi mengelakkan sebarang insiden berlaku," katanya.

Kejadian tanah runtuh membabitkan kawasan tebing jalan laluan Bukit Lama dari Bayan Lepas ke Balik Pulau dekat sini sepanjang 80 meter itu, dipercayai disebabkan hujan lebat lebih dua jam yang bermula 1 tengah hari.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kejadian tanah runtuh itu adalah yang kedua selepas kejadian tanah runtuh berlaku di tapak projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong di sini, Jumaat lepas yang mengorbankan sembilan orang dan mengakibatkan empat yang lain cedera. - Bernama