Itulah gambaran bagi segelintir masyarakat negara ini yang begitu ghairah berkongsi dan menyebarkan maklumat mengenai sesuatu perkara tanpa memikirkan akibat daripada perbuatan mereka itu.

Tambahan pula, mesej yang dikongsikan itu turut disertakan dengan gambar yang kononnya mempunyai kaitan dengan kes tertentu, sedangkan ia jauh tersasar dan diambil daripada sumber lain bertujuan untuk memburukkan lagi keadaan.

Mungkin mereka begitu teruja dengan maklumat yang diterima melibatkan pihak tertentu yang menjadi ‘musuh’ selama ini, lantas berkongsinya dengan kenalan menerusi grup WhatsApp.

Bagi mereka, inilah masa yang sesuai untuk menjatuhkan pihak tertentu biarpun dengan menggunakan cara yang paling keji.

Kesannya, orang yang terkena tohmahan tersebut akan menerima kutukan dan kecaman teruk masyarakat, selain maruahnya turut tercalar. Biarpun dia cuba untuk menjelaskan perkara itu, orang ramai sudah tidak mempercayainya lagi.

Walaupun sebelum ini penghantaran berita tidak benar menerusi teknologi terkini itu pernah mendapat perhatian beberapa agamawan terkemuka di negara ini yang menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dalam hal ini, namun nampaknya segala nasihat dan teguran tersebut dipandang sepi oleh segelintir anggota masyarakat yang lebih cenderung untuk menyebarkan berita fitnah tersebut seolah-olah ia satu kepuasan peribadi selepas berbuat demikian.

Lebih memeranjatkan, geng daripada grup surau yang kelihatan ‘alim’ dan lebai pun turut terpalit dalam isu ini dan turut sama berkongsi ‘saham’ dosa dengan menyebarkan gambar dan teks berbaur fitnah.

Mereka dengan bangganya menghebohkan satu dunia bahawa apa yang dilakukan itu betul sedangkan hakikat sebenar jauh tersasar. Mungkin dengan perwatakan ‘alim kucing’ yang ada pada mereka, orang cepat percaya dengan apa yang disogok tanpa berfikir panjang mengenainya.

Jika mereka yang dianggap ‘suci’ pun boleh terpalit dengan dosa memfitnah secara semberono, apatah lagi mereka yang jahil serta alim ‘suam-suam kuku’ dan mengamalkan dasar hidup liberal.

Justeru, bagi mengelakkan perkara ini daripada terus menjadi ‘amalan’ golongan tertentu di negara ini, maka semua orang perlu bermuhasabah diri dengan memeriksa kesahihan sesuatu berita sebelum disebarkan kepada umum. Tambahan pula umat Islam kini sedang menjalani ibadah puasa yang penuh keberkatan tinggal kira-kira dua minggu lagi.

Seorang kenalan memberitahu, dia ingatkan fitnah dan tohmahan senyap seketika ketika Ramadan, namun perkara yang sebaliknya yang berlaku. Ia semakin ‘su­bur’ dalam diri sebahagian umat Islam yang kotor hati dan tidak senang melihat orang lain hidup bahagia.

Biarpun sedang berpuasa, semakin hari, semakin rancak teks dan gambar berunsur fitnah disebarkan oleh orang Islam menerusi media sosial di negara ini dan ia amat membimbangkan. Mereka seolah-olah sengaja berbuat demikian ekoran perasaan iri hati dan dendam bersarang dalam sanubari.

Jika ‘penyakit’ fitnah ini terus dibiar subur dalam diri anggota masyarakat di negara ini terutamanya dalam kalangan umat Islam tanpa ada pihak yang cuba untuk menghalangnya, lama-kelamaan ia akan meruntuhkan peradaban yang dipertahankan selama ini.