Difahamkan, projek yang menelan kos RM20 juta bermula pada 2012 itu kini dihentikan sementara sejak dua bulan lalu. 

Salah seorang penduduk, Azlan Bah Derngui, 50, yang mewakili lebih 1,000 penduduk Orang Asli meluahkan rasa marah dan tidak berpuas hati kepada kerajaan negeri kerana projek tersebut telah menjejaskan sumber pendapatan mereka sekali gus memusnahkan habitat alam di sekitarnya. 

“Calon Pakatan Harapan Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja, Sandrea Ng sebelum ini berjanji mahu menghentikan projek hidro ini jika mereka berjaya menjadi kerajaan negeri namun sehingga sekarang projek tersebut masih berjalan walaupun arahan menghentikan sementara dikeluarkan. 

“Kehidupan kami amat bergantung kepada hasil sungai dan hutan ini. Projek tersebut kini telah memusnahkan habitat sungai dan menebang pokok-pokok buah selain menceroboh perkuburan kami di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Seorang lagi penduduk, Wahngah Bah Tangoi, 61, merayu agar kerajaan negeri mengambil kira masa depan anak-anak Orang Asli di Ulu Geruntum sekiranya projek tersebut tidak dihentikan. 

““Kami generasi ke-10 tinggal di kawasan ini. Ini rumah kami dan ke mana lagi kami mahu pergi sekiranya projek yang memusnahkan persekitaran kami di sini diteruskan?

“Kepada siapa lagi kami mahu bergantung harap jika kerajaan kami sendiri yang menzalimi kami? Kami tidak sanggup menggadaikan tanah ini walau diberi pampasan yang banyak,” katanya. - K! ONLINE