Pengerusinya, Jeffry Hassan,32, berkata, pembinaan projek empangan itu dikhuatiri akan memusnahkan kira-kira 7,600 hektar tanah nenek moyang mereka selain menjadi tempat tinggal kepada 2,000 Orang Asli Pos Lanai.

Jelasnya, sebelum ini, jawatankuasa itu menang pada prosiding injuksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang projek tersebut empat tahun lalu namun, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaku defendan telah memindahkan kes itu ke Mahkamah Temerloh bagi injuksi kedua.

“Kami telah kalah pada prosiding injuksi kedua pada 28 Ogos 2016 namun, TNB tetap menjalankan kerja-kerja pengukuran kira-kira 12 meskipun perintah injuksi pertama masih kekal.

“Selepas kalah prosiding injuksi kedua, kami terpaksa membayar sebanyak RM3,000 masing-masing kepada TNB, Kerajaan Negeri Pahang, Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan jumlah penuh RM12,000. Kami tidak mampu untuk membayar jumlah itu dan ia ternyata membeban jawatankuasa bertindak ,” katanya pada sidang akhbar di Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Kampung Orang Asli Pos Lanai memfailkan saman untuk mencabar pembinaan empangan hidroelektrik di atas tanah adat mereka pada bulan Mei 2015.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menamakan TNB, Kerajaan Negeri Pahang, Kerajaan Persekutuan dan Jakoa sebagai defendan.

Jawatankuasa itu juga mendakwa tindakan pembinaan empangan juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak Orang Asli selain mendakwa terdapat unsur pecah amanah, penipuan dan pencerobohan haram ke atas tanah mereka.

Mengulas lanjut mengenai pembayaran kos itu, Jeffry telah mengemukakan surat permohonan kepada Peguam Negara, Tommy Thomas melalui Pegawai Pejabat Peguam Negara, Wasri Ahmad Sujani agar pihak mahkamah dapat mengecualikan kos RM12,000 yang perlu dibayar.

Menurutnya, beliau juga berharap Peguam Negara dapat mempertimbangkan permohonan tersebut ekoran kekangan kewangan yang dihadapi oleh kesemua ahli jawatankuasa itu. - K! ONLINE