Rata-rata mereka berharap air sungai di kampung itu kembali ‘bersih’ selepas perlombongan bijih mangan di kawasan berhampiran dihentikan sejak 11 Jun lalu.

Penghulu Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok berkata, penduduk Orang Asli melihat aktiviti perlombongan bijih mangan selama ini mencemarkan air sungai.

Katanya, ianya juga dipercayai memberi kesan krisis penyakit kepada kaum itu yang menggunakan air sungai bagi keperluan harian.

“Penduduk masih bimbang dengan pencemaran air sungai terbabit yang membawa jangkitan kuman kepada hampir seluruh keluarga di sini.

"Kami berasa lega apabila perlombongan bijih itu sudah diambil tindakan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar hari ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyatakan aktiviti perlombongan yang beropersi tanpa kebenaran di Kampung Kuala Koh sudah disita pada 11 Jun lalu.

Beliau berkata, perkara itu susulan syarikat terbabit tidak dibenarkan melombong sehingga mendapat skim kebenaran daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Sementara itu, seorang penduduk, Inja Punai, 32, pula berkata, sudah lama mereka tidak senang dengan perlombongan bijih di situ.

Katanya, mereka mahu masalah itu dipantau setiap masa kerana bimbang selepas ia disita tetapi masih beroperasi secara haram seperti sebelum ini.

“Kita anggap isu perlombongan bijih yang membawa kepada pencemaran air sungai kampung ini dipantau setiap masa bagi mengelak berlaku masalah," katanya. - K! ONLINE