Sejak lima tahun lalu, mereka umpama keluarga dengan suku kaum itu apabila kerap kali berkunjung ke perkampungan itu bagi mengadakan program kesedaran kesihatan, pendidikan dan bantuan barangan makanan harian.

Malah, ketika bulan Ramadan iaitu seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, mereka turut menyantuni Orang Asli di Kuala Koh dan berbuka puasa dengan mereka selepas dalam perjalanan dari Pos Hendrop dan Kampung Aring 5 untuk menghantar bantuan.

Ketua misi kemanusiaannya, Prof. Dr. Ramlee Abdullah berkata, rombongannya tidak menyangka suasana kampung sepi dan ketiadaan penduduk di kawasan itu ada kaitan dengan kematian mengejut yang dipercayai berpunca daripada penyakit ‘misteri’ yang tidak diketahui puncanya.

Katanya, walaupun hubungan mereka sangat rapat, tetapi penduduk di situ bertindak mengunci mulut mereka dengan kejadian kematian mengejut itu.

“Ketika kami tiba di kampung itu, keadaan sunyi sepi dan tiada seorang pun penduduk sebelum kami diberitahu mereka sudah berpindah ke pinggir Sungai Pertang di kawasan hutan.

“Segala barang bantuan diletakkan di sebuah bangunan di kampung berkenaan sebelum kami pulang ke Terengganu.

“Kami ingat kehilangan mereka itu kerana berkabung selepas kematian Tok Batin, Hamdan Keladi,” katanya.

Ramlee berkata, kelmarin pula pihaknya telah mengagihkan lebih satu tan bantuan bekalan makanan, minuman dan pakaian menerusi misi kemanusian untuk bekalan Orang Asli Batek Kuala Koh, di pusat kawalan Op Batek di Felda Aring 10.

Katanya, bantuan itu kerjasama UniSZA bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Sementara itu, seorang sukarelawan yang sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UniSZA, Fahru Azwa Mohd. Zain, 29, berharap penduduk suku kaum itu bersabar dengan ujian yang menimpa mereka.

Katanya, dia bersama sukarelawan lain sering berkunjung dan membantu penduduk di situ kerana melihat mereka masih ketinggalan jauh dan menjalani kehidupan separa nomad.

“Sebelum ini kami tidak melihat penduduk mengalami sakit teruk kecuali kebanyakan mereka hanya berpenyakit kulit,” katanya.

Pelajar sarjana UniSZA, Muhammad Taufiq Azman, 26, pula bertekad untuk terus membantu memberi kesedaran dan pendidikan kepada penduduk suku Batek selepas pihak berkuasa selesai melakukan siasatan tentang kematian mengejut yang berlaku di Kampung Kuala Koh. - K! ONLINE