Seorang penduduk Kuntum Pisang, 55, berkata, kaumnya berharap agar krisis kesihatan yang melanda perkampungan mereka segera berakhir.

Katanya, mereka menafikan kenyataan yang dikeluarkan beberapa pihak sebelum ini yang mendakwa mereka tidak memberi kerjasama dan lari ke hutan kerana takut membuat rawatan.

“Kita berharap pihak kesihatan datang secara kerap selepas ini untuk membuat rawatan.

“Sebelum ini mereka hanya datang membuat rawatan biasa dan memberi ubat-ubatan kepada penduduk yang sakit kira-kira sebulan sekali di kawasan penempatan kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Osman Halim, 28, berkata, penduduk masih lagi dalam keadaan bersedih selepas 15 penduduk telah meninggal dunia dipercayai akibat masalah kesihatan.

Katanya, mereka bersedia dan membenarkan anak mereka yang masih kecil mengambil suntikan imunisasi itu.

Semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr. Zaini Hussin dilaporkan berkata, semua penduduk sekitar Kampung Kuala Koh akan diberi suntikan vaksin bermula minggu depan bagi mengelak penularan wabak measles atau demam campak.

Katanya, pihaknya kini sedang mengenal pasti bilangan penduduk yang terdedah berikutan kampung berkenaan turut didiami masyarakat tempatan selain Orang Asli. -K! ONLINE