Seramai 9 pesakit berkenaan telah menjalani ujian saringan kesihatan di hospital itu juga turut diiringi oleh 20 ahli keluarga ditempatkan di PPS itu buat sementara waktu.

Penduduk Orang Asli itu menaiki kenderaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan memasuki kem itu pada pukul 3.30 petang.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Hizani Ibrahim berkata, penempatan itu dibuka hari ini selepas persiapan rapi dan kerja pembersihan kem dilakukan.

Katanya, pihak JKM bersedia menerima pesakit Orang Asli yang disahkan selamat selepas menerima rawatan di hospital.

“Kita menjangkakan dapat menerima lebih ramai penduduk Orang Asli untuk tinggal secara sementara di kawasan itu sebelum dibenarkan pulang ke Kampung Kuala Koh.

“Pihak JKM akan menjaga kebajikan mereka semua termasuklah ahli keluarga pesakit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, kem PLKN Etnobotani akan digunakan sebagai PPS bagi menempatkan Orang Asli yang telah dibenarkan keluar dari hospital untuk pemantauan tahap kesihatan mereka. - K! ONLINE