Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jangkitan itu telah disahkan melalui ujian makmal yang dijalankan pada Sabtu lalu dan mendapati ujian tuberkulosis (tibi), melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Jelasnya, faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh ini adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin Mump, Measles dan Rubela (MMR) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

“Pasukan kesihatan sukar memberi perkhidmatan kesihatan menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini kerap berpindah randah. Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi.

“Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi. Demam campak adalah jangkitan virus yang amat mudah merebak dengan satu kes boleh menularkan jangkitan kepada 12 hingga 18 individu lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dzulkefly, jangkitan itu boleh menular melalui titisan cecair pernafasan di udara dan sentuhan langsung dengan cecair pernafasan daripada orang yang dijangkiti.

Ujarnya, gejala penyakit demam campak adalah demam dengan batuk, selsema atau mata merah diikuti ruam selepas beberapa hari.

“Komplikasi jangkitan demam campak berlaku terutama kepada bayi, kanak-kanak dan individu yang mengalami kekurangan zat makanan serta tahap imuniti yang rendah.

“Komplikasi demam campak termasuk pneumonia, cirit-birit, keradangan otak, otitis media dan kematian. Kadar kematian kes demam campak lazimnya kurang satu peratus, namun boleh setinggi tiga hingga enam peratus jika mengalami kekurangan zat makanan,” katanya.

Tambah Dzulkefly, kadar kematian kes measles lazimnya kurang daripada satu peratus namun boleh meningkat kepada tiga hingga enam peratus sekiranya mengalami kekurangan zat makanan.

Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan membuat carian kes secara aktif di perkampungan tersebut dan di perkampungan sekitar berdasarkan pergerakan mereka sebelum ini.

“Kita akan memberi vitamin A kepada semua kanak-kanak bagi kes Measles yang dirawat bertujuan meningkatkan sistem imuniti memandangkan mereka mengalami masalah kekurangan zat makanan.

“Selain itu, kita juga akan menjalankan aktiviti imunisasi kepada semua penduduk Orang Asli di lokasi terlibat,” katanya. - K! ONLINE