Justeru itu, mereka mahu pihak kerajaan dan agensi berkaitan menyiasat semula perkara itu kerana mereka yakin penyakit berjangkit itu berpunca daripada penggunaan air tadahan bukit serta air Sungai Balai yang dipercayai mengandungi bahan kimia.

Penghulu Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok, berkata, sebelum tahap kesihatan penduduknya terjejas, mereka sebelum ini sering menggunakan punca air sungai itu untuk minum dan memasak.

Katanya, mereka yakin air tercemar kerana kawasan lombong bijih mangan terbabit hanya berjarak 100 meter dari sungai dan tadahan air bukit.

“Kami sudah membangkitkan perkara berkenaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Putrajaya, kelmarin.

“Kami tidak berpuas hati dan beliau juga bersetuju untuk menyiasat semula perkara itu. Beliau memberi masa tiga bulan untuk membuat kajian semula dengan mengambil sampel air di lokasi itu sebelum ada keputusan muktamad,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Mohamad, sampel air yang diambil jabatan terbabit juga mungkin bukan air dari Sungai Balai, sebaliknya air di Sungai Lebir yang terletak lima kilometer dari kampung.

Katanya, sampel air yang diambil itu juga mungkin diambil selepas agak lama kejadian menimpa penduduk berlaku.

Sementara itu, Guru Agama Orang Asli, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Mohd. Fazli Mamok, 31, berkata, kaumnya juga terkejut selepas dimaklumkan penyakit misteri yang menyebabkan beratus penduduk sakit dan kematian penduduk adalah disebabkan demam campak.

Katanya, mereka juga berharap pihak kerajaan membuat siasatan semula berhubung penyakit itu.

“Kami meragui kaum kami dijangkiti demam campak sehingga meragut nyawa.

“Kami Orang Asli pernah dijangkiti demam campak sebelum ini, namun tidaklah berlaku kematian kerana kami ada ubat tradisional yang dibuat sendiri,” katanya. - K! ONLINE