Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan jumlah kes yang disahkan, tujuh kes dilaporkan di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu, Terengganu dan empat di Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang.

“Kesemua 11 kes ini disahkan melalui ujian makmal dan pengesanan kes dan pemantauan status kesihatan penduduk masih diteruskan.

“Siasatan awal mendapati, terdapat sejarah kontak atau pergerakan di antara kes yang disyaki di Hulu Terengganu (Kampung Ulu Sat) dengan komuniti Orang Asli suku Batek, (Kampung Kuala Koh), Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Pengamal Kesihatan Mental 2019 di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan seramai 10 pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu dengan lapan daripadanya mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan manakala seorang lagi cirit-birit, sakit perut serta muntah sebelum seorang lagi pesakit dari kampung itu dimasukkan ke hospital sama.

Kesemua mereka yang dimasukkan ke hospital itu berumur antara 4 hingga 29 tahun terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan dilaporkan stabil, diberi antibiotik dan rawatan kesihatan.

Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan cadangan untuk mengenakan kuarantin di kawasan yang terjejas berhadapan sedikit kesukaran disebabkan cara hidup komuniti itu yang gemar berpindah-randah.

“Mereka tidak menyambut baik cadangan untuk menghimpunkan semua orang di dalam kawasan tertentu.

“Buat masa ini, tiga lokasi telah dikepung bagi mengelak sebarang pergerakan keluar masuk untuk menghalang penyakit itu daripada terus merebak,” katanya. - K! ONLINE