Ketua Pegawai Agama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Murtadha Abdullah berkata, pihaknya telah melakukan siasatan dan mendapati kesemua yang meninggal dunia adalah beragama Islam.

“Hasil mesyuarat Majlis Tindakan Bencana Negara tadi di Gua Musang memaklumkan jenazah kini berada di peringkat akhir bedah siasat.

“Apabila selesai kita akan uruskan pengebumian, kita telah masuk ke Kampung Kuala Koh dan mendapati kesemua jenazah adalah orang Islam.

“Semua ahli keluarga dan masyarakat Orang Asli di sana juga bersetuju supaya jenazah disemadikan secara Islam,” katanya di Majlls Jalinan Ukhuwah Aidilfitri Bersama Maik di Dewan Besar, Kompleks Islam Lundang di sini hari ini.

Sementara itu, Murtadha berkata, proses pengurusan dan pengebumian jenazah akan diuruskan imam Masjid Bandar Gua Musang dengan bantu pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan juga agensi-agensi lain.

“Pihak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) juga telah memberi komitmen untuk menggali kubur jenazah.

“Kita memang mahu buat dengan segera tetapi kita kena tunggu urusan dengan hospital selesai, pihak kami bersedia bila-bila masa sahaja, kita sudah siapkan kelengkapan pengebumian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, kesemua kos pengurusan dan pengkebumian ditanggung sepenuhnya oleh Maik. - K! ONLINE