Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bedah siasatan terhadap mayat tersebut selesai dijalankan dan sampel telah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.

"Ujian sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Enam kes lagi telah disahkan positif measles (demam campak) melalui ujian makmal dan menjadikan jumlah 43 kes disahkan di makmal," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, seramai 37 daripada 112 Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang sebelum ini dipercayai dijangkiti saluran pernafasan disahkan menghidap jangkitan measles.

Jangkitan itu telah disahkan melalui ujian makmal yang dijalankan pada Sabtu lalu dan mendapati ujian tuberkulosis (tibi), melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh ini adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin Mump, Measles dan Rubela (MMR) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, mesyuarat Kabinet hari ini telah membincangkan situasi terkini jangkitan pernafasan yang berlaku dalam kalangan Orang Asli terlibat.

Jelasnya, jemaah menteri juga dimaklumkan berhubung langkah-langkah diambil Kementerian Kesihatan termasuk imunisasi dan diagnosis wabak measles di kawalan terlibat.

“Wabak ini masih berada dalam keadaan terkawal dengan langkah sewajarnya sedang dibuat melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Selalunya wabak ini ada musimnya dan kita tidak tahu apa punca utama wabak ini, mungkin ia ada orang yang keluar dan masuk. Bagaimanapun, kita bagi tempoh dua minggu untuk melihat sama ada ia akan kembali reda," katanya. - K! ONLINE