Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, gotong-royong itu membabitkan pembersihan kediaman dan kawasan kampung kaum itu.

Katanya, selepas krisis kesihatan melanda perkampungan Orang Asli itu, pihaknya berharap penduduk suku Batek dapat memulakan hidup baharu dengan tinggal dalam suasana lebih bersih dan terjamin.

“Terdapat 16 buah rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) yang dibina Jakoa di kampung itu perlu dibersihkan semula.

“Selain itu, terdapat 12 rumah buluh, lima rumah kayu serta ‘haya’ atau bangsal kecil yang dibina sendiri kaum itu yang perlu dibersihkan semula,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hashim Alang berkata, pihaknya juga mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarela lain yang berminat untuk menyertai aktiviti itu bersama-sama.

Katanya, pihaknya masih belum menetapkan tarikh berhubung perkara itu sehinggalah pihak berkuasa mengeluarkan arahan kawasan terbabit bebas daripada zon merah.

“Kita berharap mendapat kerjasama banyak pihak dalam membantu kumpulan Orang Asli Batek untuk memperoleh kualiti hidup lebih baik seperti masyarakat luar.

“Kita akan terus berusaha memberi pendedahan terutama kepentingan penjagaan kesihatan yang sering diabaikan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Tinjauan petugas media di kawasan diisytihar sebagai ‘zon merah’ itu petang semalam mendapati, rata-rata penduduk di situ berpendapat keadaan sudah kembali selamat.

Mereka juga yakin bekalan air sebagai kemudahan asas paling diperlukan selamat digunakan.

Sebelum ini, mereka dilaporkan bertindak mengosongkan kampung tersebut beramai-ramai, lebih seminggu lalu kerana khuatir terkena ancaman penyakit sama yang mengorbankan 14 nyawa rakan dan saudara-mara mereka.

Mereka dikatakan berpindah dari situ dan mendirikan pondok kecil di beberapa lokasi lain di sepanjang tebing Sungai Pertang. - K! ONLINE

Oleh AIMUNI TUAN LAH