Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Hizani Ibrahim berkata, pertambahan itu paling ramai 64 Orang Asli berbanding tiga hari lalu jumlahnya 91 orang. 
    
Katanya,  pertambahan itu kerana penduduk yang  dijangkiti demam campak yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai mula keluar daripada hospital itu. 

“Mereka yang terlibat masih tidak dibenarkan pulang ke Kampung Kuala Koh, sebaliknya perlu tinggal di PPS Etnobotani buat sementara untuk dikuarantin bagi mengelak terus dijangkiti penyakit terbabit.
     
“Sejak PPS itu dibuka 18 Jun lalu boleh dikatakan Orang Asli suku Bateq ditempatkan di situ bertambah setiap hari," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, kem PLKN Etnobotani akan digunakan sebagai PPS bagi menempatkan Orang Asli yang telah dibenarkan keluar dari hospital untuk pemantauan tahap kesihatan mereka.

Hizani berkata lagi, setakat ini bilangan Orang Asli yang ditempatkan di PPS itu membabitkan 48 keluarga yang semakin pulih selepas menerima rawatan di hospital. 
    
Katanya, jumlah itu termasuk 11 orang bayi lelaki dan perempuan.

“Tahap kesihatan mereka juga bertambah baik kerana diberi rawatan setiap masa serta  dijaga makan dan minum. 
     
“Tempoh masa mereka ditempatkan di situ juga belum dapat ditentukan sebelum mereka dibenarkan pulang semula ke rumah di Kampung Kuala Koh," katanya. - K! ONLINE