Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia menjadi hak SPRM untuk menjalankan kerja mereka dan pihak kerajaan negeri tidak ada masalah tentang itu.

"Itu kita serah kepada dia (SPRM), itu hak dia, kerja dia, kita tidak ada masalah," katanya selepas menyampaikan kuliah di hadapan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata, pihaknya akan meneliti laporan yang telah diterima sebelum mengambil sebarang tindakan susulan termasuk siasatan lebih terperinci jika wujud salah laku pihak tertentu di pelbagai peringkat berhubung insiden itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad yakin komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membantu negeri ini khususnya membabitkan projek pengurusan dan bekalan air selaras dengan semangat federalisme.

Katanya, ia sebagaimana kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri sebelum ini dalam Mesyuarat Kewangan Negeri yang akan mengutamakan kewajipan sebagai kerajaan daripada perbezaan ideologi politik.

"Kita sokong ucapan Tun itu kerana beliau tidak lihat dari sudut kepartian tetapi kewajipan sebagai negara yang mengamalkan (sistem) federalisme," katanya.

Selasa lalu, Ahmad bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini yang antaranya membincangkan rancangan empat projek utama bagi menyelesaikan masalah berkaitan air khususnya bekalan untuk kegunaan harian serta pertanian di negeri ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, empat projek berkenaan adalah pembinaan Empangan Lebir; pembinaan Empangan Nenggiri; projek tebatan banjir iaitu Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dan projek bekalan air Merbau Chondong, Machang.

“Keempat-empat projek ini memberi keutamaan kepada pengurusan air dan sumber air untuk jangka panjang dan jangka pendek," katanya. - K! ONLINE