Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Hizani Ibrahim berkata, seramai 17 orang lagi pesakit kaum itu ditempatkan di PPS itu sejak petang semalam.

Katanya, kini seramai 26 Orang Asli berada di PPS terbabit termasuklah hari pertama dibuka Selasa lalu sembilan orang.

“Orang Asli yang ditempatkan itu termasuklah 14 kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan, dua lelaki dewasa dan enam perempuan dewasa.

“Semua mereka itu selepas menerima rawatan dan saringan di Hospital Gua Musang (HGM). PPS Etnobotani itu juga adalah kawasan larangan dan mereka yang tidak berkenaan tidak dibenarkan berada di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, kem PLKN Etnobotani akan digunakan sebagai PPS bagi menempatkan Orang Asli yang telah dibenarkan keluar dari hospital untuk pemantauan tahap kesihatan mereka. - K! ONLINE