Pengerusi Jaringan Kampung Wilayah Tanah Adat Pos Simor, Nur Mohd. Syafiq Dendi Abdullah berkata, memorandum yang mengandungi 12 perkara itu mahu diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai jalan akhir untuk mempertahankan hak masyarakat Orang Asli dk Gua Musang.

"Kami bertindak kerana pencerobohan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bukan sahaja mengakibatkan penggondolan hutan, pencemaran sungai dan sumber ubatan serta makanan Orang Asli malah mereka juga berani bertindak ala samseng dengan mengugut penduduk dengan senjata api. 

"Kami meminta kerajaan baharu mengambil tindakan isu pembalakan, kelulusan tender balak yang tidak terkawal dan mengakibatkan kerosakan alam sekitar," katanya kepada pemberita di sini tadi.

Terdahulu, beliau menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Politik Mahathir, Abu Bakar Yahya.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Sementara itu, Abu Bakar memaklumkan, Perdana Menteri sedia untuk bertemu dengan wakil kumpulan tersebut pada pukul 3.30 petang ini. - K! ONLINE