Tinjauan di kawasan tepi Sungai Lubuk Kucing itu mendapati terdapat sebanyak empat khemah telah didirikan dan didiami 10 orang penduduk.

Seorang penduduk, Kulim Tebu, 72, berkata, mereka membina khemah di kawasan itu  kerana mahu melupakan dan tenangkan fikiran selepas tragedi 15 kematian penduduk Kampung Kuala Koh.

Katanya, dia masih teringat dua cucunya yang meninggal dunia.

“Ini merupakan perpindahan kali keenam  dilakukan di tempat baharu selepas tragedi menimpa cucu saya.

“Bagaimana, perpindahan ke tempat baharu itu belum ramai lagi kerana kebanyakan penduduk baru dibenar pulang ke rumah selepas dikuarantin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Pikas Langsat, 35, pula berkata, mereka bukan menetap selamanya di pinggir hutan itu dan akan pulang semula ke rumah di kampung asal bulan depan.

Katanya, mereka berasa selamat tinggal di situ kerana boleh menggunakan punca air sungai berhampiran Taman Negara.

“Perjalanan ke tempat perpindahan baharu itu mengambil masa sejam berjalan kaki dan disitu juga mudah mendapat air bersih untuk minum.

“Sudah menjadi kebiasaan dan adat kami berpindah serta tinggal sementara di khemah apabila berlaku kematian samada ahli keluarga sendiri atau jiran,” katanya.

Selasa lalu, seramai 173 penduduk Orang Asli suku kaum Bateq yang dikuarantin di PPS Etnobotani selama 36 hari selamat pulang ke kampung halaman mereka di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli  Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, semua penduduk Orang Asli suku Bateq dihantar pulang ke rumah selepas disahkan sihat dan bebas daripada jangkitan wabak demam campak oleh Jabatan Kesihatan. - K! ONLINE