Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, semua penduduk Orang Asli suku Bateq dihantar pulang ke rumah selepas disahkan sihat dan bebas daripada jangkitan wabak demam campak oleh Jabatan Kesihatan.
    
Katanya, proses menghantar mereka pulang bemula pukul 1 petang ini dan tiba di kampung pukul 2.30 petang membabitkan konvoi lapan kenderaan dan enam kenderaan pacuan empat roda yang turut diiringi anggota peronda polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang. 
    
“Agensi lain yang terlibat sama ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang. 

“Kita berharap mereka yang keluar dapat menjaga kesihatan dan kebersihan diri mereka di kampung supaya tidak lagi dijangkiti penyakit.

“Kita juga berharap mereka dapat pulang ke rumah dapat tinggal dalam suasana bersih selepas kita mengadakan gotong-royong itu baru-baru ini," katanya di sini hari ini. 

Sebelum ini, penduduk berkenaan ditempatkan sejak 18 Jun lalu di PPS itu dan jumlah pesakit Orang Asli suku Bateq ditempatkan di situ bertambah setiap hari.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, kem PLKN Etnobotani digunakan sebagai PPS bagi menempatkan Orang Asli yang telah dibenarkan keluar dari hospital untuk pemantauan tahap kesihatan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, operasi perpindahan Orang Asli suku Batek dari PPS Etnobotani berjalan lancar dan penduduk selamat sampai ke kampung.

Katanya, pihaknya mengiringi penduduk Orang Asli supaya tidak ada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan pulang ke kampung mereka yang mengambil masa dua jam setengah. 

“Walaupun pada peringkat permulaannya mereka dilihat murung, tetapi selepas diberi kaunseling dan makanan mencukupi suasananya semakin ceria. 
     
“Sebelum ini, mereka sering bertanya bila dapat balik ke kampung kerana tidak sabar untuk berjumpa ahli keluarga. Selepas pihak Jabatan Kesihatan mengesahkan mereka bebas daripada wabak penyakit berjangkit itu,  jadi kita menghantar mereka pulang ke Kampung Kuala Koh hari ini," katanya. - K! ONLINE