Penghulu Kampung Sendrop Andol Busu Jamin berkata jengkaut yang digunakan untuk meratakan kawasan berbukit bagi dijadikan tapak tanaman sayur-sayuran, menjejaskan sumber bekalan air apabila airnya menjadi keruh dan berkeladak.

"Masalah pencemaran sumber air bagi penduduk di kampung ini dan beberapa kampung lain yang terletak berhampiran, semakin kritikal disebabkan pengusaha kebun sayur sesuka hati menceroboh kawasan  tadahan air," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan pengusaha terbabit turut menyebabkan berlakunya hakisan  tanah serta banjir lumpur sehingga mengancam keselamatan penduduk.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Galas Ab Aziz Yusof yang meninjau kawasan tersebut  mendesak kerajaan negeri bertindak segera menghentikan pencerobohan itu, demi kesejahteraan hidup masyarakat Orang Asli.

"Air sungai di kawasan tanah tinggi Lojing kini tidak boleh digunakan penduduk berikutan berlaku pencemaran yang serius dan membahayakan kesihatan," katanya. - Bernama