Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini berikutan maklum balas operator feri bahawa mereka terpaksa berhadapan dengan cabaran dari segi kos operasi susulan harga bahan api yang agak tinggi pada masa ini. 

"Dari segi kadar tambang feri memang operator tidak boleh sesuka hati naikkan kadar tambang, mesti dapat kelulusan kerajaan...tapi kerajaan buat masa ini belum membuat apa-apa keputusan berkenaan isu ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Feri Penumpang di Kuala Kedah hari ini. 

Beliau berkata kerajaan perlu mengimbangi kepentingan untuk penumpang dan pada masa sama berusaha memastikan agar operator feri dapat meneruskan perkhidmatan kerana ia merupakan salah satu medium pengangkutan penting untuk pelancong berkunjung ke pulau pelancongan terkenal di dunia itu. 

"Sebab itu kita akan lihat dengan teliti perkara ini sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya. - Bernama