Operasi tren yang akan dilanjutkan itu membabitkan laluan Seremban-Batu Caves, Batu Caves-Seremban, Pelabuhan Klang-KL Sentral dan KL Sentral-Pelabuhan Klang.

Pengurus Besar Operasi KTM Berhad S. Mahendran berkata perkhidmatan itu disediakan bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut Hindu serta pelancong untuk ke Batu Caves.

"Operasi tren akan dilanjutkan selepas waktu perkhidmatan sedia ada, dengan penambahan 132 perkhidmatan tren, menjadikan jumlah tren yang disediakan adalah sebanyak 934 tren.

"Kita jangkakan lebih dua juta pengguna akan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter sempena Thaipusam 2019 berbanding 1.3 juta pengguna pada perayaan yang sama tahun lepas," katanya pada sidang media di stesen KTM Komuter Batu Caves di sini hari ini.

Katanya, perkhidmatan tren ulang-alik dari Batu Caves-Sentul-Batu Caves turut disediakan buat penumpang bagi mengelakkan kesesakan di Stesen Batu Caves. - Bernama