Naib Presiden Kanan Frost and Sullivan dan Pengarah Urusan Malaysia, Hazmi Yusof berkata, sekiranya Malaysia turut digesa menghentikan penggunaan teknologi Huawei, ia bukanlah satu gangguan ataupun bencana.

"Terdapat beberapa syarikat telekomunikasi yang menggunakan peranti Huawei, tetapi kebanyakannya, bergantung kepada lebih daripada satu vendor bagi mengelakkan terlalu bergantung kepada satu sumber," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, syarikat telekomunikasi biasanya mempunyai struktur langkah luar jangka bagi menghadapi situasi yang sama, yang digunakan bagi mengurangkan risiko vendor yang dilantik daripada muflis.

Mengenai pelancaran teknologi 5G yang menyaksikan beberapa syarikat telekomunikasi telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Huawei bagi mempercepat pelaksanaannya, Hazmi berkata, masih banyak yang perlu dilakukan oleh Malaysia berdasarkan polisi atau peraturan semasa.

"Sekiranya sekatan terhadap Huawei merebak ke Malaysia, kita masih ada masa untuk mendapatkan rakan kongsi yang lain untuk melaksanakan pelancaran teknologi 5G. Masih ada harapan di sebalik kemelut yang berlaku," katanya.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Malaysia dijangka mula menggunakan teknologi 5G pada 2021 atau 2022.

Situasi yang sama juga dirasai oleh industri lain yang sedang dalam fasa melaksanakan transformasi digital.

"Industri kita sedang melalui peringkat tranformasi digital untuk melihat kesan yang perlu diberi perhatian," kata Hazmi.

Pada awal tahun ini, Maxis Bhd. menandatangani MoU dengan Huawei bagi mempercepat pelaksanaan teknologi 5G di negara ini, manakala beberapa syarikat telekomunikasi yang lain menggunakan modem dan router gergasi teknologi daripada China itu untuk memindahkan isyarat wifi.

Ketika dihubungi, wakil syarikat telekomunikasi itu berkata, setakat ini tiada arahan untuk menghentikan pengunaan produk Huawei.

Ketegangan perdagangan antara AS dan China semakin meningkat sejak minggu lepas, dengan syarikat-syarikat teknologi terjejas dan AS mengumumkan untuk menyenarai hitam perdagangan terhadap Huawei.

Oleh yang demikian, beberapa syarikat teknologi yang berpangkalan di AS, termasuk Intel, Broadcom dan Qualcomm menghentikan membekalkan komponen kepada Huawei. Google juga dengan tergesa-gesa membatalkan lesen Android Huawei.

Pada Selasa, Maxis berkata, telefon Huawei yang mempunyai kaitan dengan produk tawarannya tidak terjejas dengan pembatalan lesen Android Huawei oleh Google.

"Pada ketika ini, sekatan itu tidak memberi kesan ke atas tawaran telefon Huawei kami. Pelanggan masih boleh membeli telefon Huawei dengan pilihan mana-mana pelan Maxis.

"Huawei juga memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa produk sedia ada tidak terjejas dan mereka boleh terus menggunakan perkhidmatan seperti biasa," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Beberapa negara telah menyertai AS dalam mengenakan sekatan terhadap produk Huawei, menyatakan alasan kebimbangan keselamatan dan ia termasuk Australia, manakala United Kingdom dan syarikat telekomunikasi Jepun telah menangguhkan pelancaran telefon Huawei.

Turut dilaporkan bahawa Korea Selatan digesa oleh AS untuk tidak menggunakan produk Huawei di republik itu, memberikan alasan kebimbangan keselamatan. - Bernama