Operasi yang turut disertai anggota penguatkuasa Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) itu tertumpu di kawasan bandar ini sebagai langkah mencegah orang ramai terpengaruh dengan perkhidmatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, pihaknya mengesan taktik anggota sindiket yang menyasarkan kawasan tumpuan ramai untuk mencari mangsa baharu mereka.

Katanya, operasi ‘Op Vulture’ yang dilaksanakan semalam merupakan kali kedua dilakukan setakat ini bagi membasmi kegiatan tersebut.

“Di daerah ini kebanyakan poster dan iklan pinjaman wang tidak berlesen dipasang di tiang atau kawasan yang akan dilalui orang ramai.

“Bagaimanapun perkara itu sentiasa berada dalam pemantauan pihak berkuasa termasuk polis dan MDGM,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, operasi itu diketuai Pegawai Operasi, Inspektor Muhd. Eran Mustapha Amir Shariffuddin bersama lima anggota kedua-dua pihak berkuasa itu.

Katanya, operasi itu dilakukan di Bandar Utama, Bandar Baru dan Bandar Lama di sini berlangsung selama satu jam setengah bermula pukul 9 malam dan berakhir 10.30 malam.

“Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan urusan pinjaman wang kerana kesannya amat berisiko apabila faedah yang dikenakan tinggi selain ugutan sekiranya gagal melunaskan pinjaman mengikut tempoh.

“Kita juga memberi amaran kepada individu yang terlibat dengan aktiviti berkenaan sekiranya berjaya dikesan pihak berkuasa kes akan disiasat di bawah Seksyen 5 (2), Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” katanya. - K! ONLINE