Ketua Polis Daerah Jerantut Deputi Superintendan Mazlan Hassan berkata, operasi itu disertai 74 pegawai dan kakitangan pelbagai agensi dan penduduk tempatan dengan bantuan anjing pengesan bermula pada pukul 8 pagi.

Operasi itu bermula semalam, selepas polis dimaklumkan mengenai kehilangan Tarmizi Ahmad Japli, 30, yang merupakan kakitangan Perhilitan Cheras, sebelum dihentikan pada lewat petang ekoran keadaan persekitaran yang semakin gelap.

"Setakat semalam pasukan penyelamat telah melakukan pencarian sehingga jarak 10 kilometer yang akan diperluaskan lagi ke dalam hutan berkenaan pada hari ini.

"Selain itu empat anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) akan melakukan rondaan kali kedua bagi mengesan mangsa daripada udara, jika terdapat tanda-tanda unggun api dinyalakan yang boleh membantu kita mengesan mangsa," katanya.

Tarmizi dilaporkan masuk ke hutan Taman Negara pada 9 Jun lalu bersama-sama melalui Felda Kechau 11 Kuala Lipis dilaporkan hilang semasa melalui jalan sungai untuk memasang kamera.

Rakan mangsa menyedari kehilangannya selepas tidak melihat mangsa yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan tidak berada di belakangnya semasa mereka dalam perjalanan pulang ke kem. - Bernama