Dalam operasi kira-kira pukul 11 malam itu, seramai lima lelaki berusia 19 hingga 40 tahun yang disyaki bekerja di premis berkenaan turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A. Anbalagan berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan pihaknya sejak beberapa minggu lalu berhubung kegiatan perjudian online di premis tersebut.

"Premis itu dijadikan pusat operasi untuk menyelaras pertaruhan seperti lumba kuda, anjing dan pelbagai lagi yang dipercayai berlangsung di luar negara.

"Sindiket itu yang baru beroperasi kira-kira sebulan lalu menjadikan kedai tersebut sebagai pusat bagi menyelaras aktiviti perjudian online itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Anbalagan lagi, siasatan mendapati sindiket itu menggajikan lima pekerja warga tempatan yang bekerja mengikut syif tertentu dengan pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan.

"Mereka didapati menggunakan pelbagai peralatan komputer canggih untuk mengawal pertaruhan terbabit dan kita sedang mengesan dalang di sebalik sindiket perjudian berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - K! ONLINE