Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata satu operasi bersepadu menangkap, menghapus anjing berkeliaran termasuk yang berkolar berlesen dan tidak  berlesen akan dijalankan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar  Sarawak  di Tabuan Jaya, Tabuan Tranquility, Stutong, BDC, Tabuan Heights, Stampin dan Hakka Avenue bermula 1 hingga 30 September ini.

Selain itu, pemvaksinan secara besar-besaran untuk anjing akan dilakukan di Dewan Masyarakat MBKS pada 25 Ogos bermula 10 pagi hingga 2 petang, katanya dalam kenyataan di sini. 

Beliau berkata kaunter pendaftaran lesen anjing oleh pihak berkuasa tempatan juga akan disediakan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membiarkan anjing lepas bebas atau  membawa anjing keluar dari kawasan wabak rabies tanpa kebenaran bertulis daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Mereka yang berbuat demikian boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih  tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Bagi mengawal pergerakan anjing liar di kawasan wabak, kerajaan negeri akan mendapatkan bantuan  Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Am Sarawak dan Jabatan Pengangkutan  Jalan, katanya. 

Uggah turut meminta pemilik anjing di kawasan wabak memastikan haiwan peliharaan mereka disuntik dengan vaksin anti-rabies.

"Kegagalan berbuat demikian boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 yang memperuntukkan denda sehingga RM 2,500 dan anjing yang ditangkap tanpa bukti pemvaksinan anti-rabies boleh ditahan dan dimusnahkan," katanya. - Bernama