Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Salehhudin Abd. Rahman berkata, keselamatan di kawasan perairan akan dipantau secara berkala oleh pasukan keselamatan.

Menurut Salehuddin, kaedah itu termasuk menjalankan pemeriksaan terhadap pengangkutan terutamanya bot penumpang dan perahu yang melalui kawasan perairan negeri ini.

"Op Selamat 12/2018 turut mementingkan aspek keselamatan pengguna di kawasan perairan.

"Kita akan mengadakan pemantauan dan pemeriksaan berkala khususnya terhadap perahu dan bot yang menjadi pilihan penumpang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Op Selamat peringkat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Tambah Salehhudin, kerjasama dengan pasukan keselamatan lain di negeri ini turut dilaksanakan bagi memantau kawasan perairan.

Katanya lagi, seramai 271 anggota dan 36 pegawai polis akan bertugas di seluruh negeri sepanjang Op Selamat dijalankan.

Sementara itu, Op Selamat 12 menyasarkan penurunan kadar kemalangan maut di negeri ini berbanding rekod dua tahun lalu.

"Kemalangan maut di Sabah mencatatkan peningkatan pada tahun lalu iaitu sebanyak sembilan kes membabitkan 18 kematian berbanding 10 orang terkorban pada Op Selamat 2016," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 634 kes kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku pada Op Selamat tahun lalu berbanding 688 kes direkodkan pada tahun 2016. - K! ONLINE